Shamsul Anuar yang juga ahli Parlimen Lenggong berkata, surat yang viral memaklumkan nama enam ahli parlimen yang berhasrat keluar daripada parti itu adalah benar.
"Ya," jawabnya ringkas dalam aplikasi Whatsapp sambil menyatakan dirinya berada di Mekah pada ketika ini.
Pagi tadi, ahli Parlimen Tanah Merah yang juga Ketua UMNO bahagian Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz hari ini mengumumkan keluar UMNO dan menjadi ahli bebas berkuat kuasa serta-merta.
Beliau dilaporkan berkata, selain beliau terdapat lima lagi ahli Parlimen UMNO yang akan menuruti jejak langkahnya.
Selain itu satu surat makluman bertarikh hari ini yang ditujukan pada Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berhubung enam ahli parlimen itu mahu keluar UMNO telah viral di laman sosial.
Menurut surat berkenaan, senarai ahli Parlimen yang terlibat ialah Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Latiff Ahmad; ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya; ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh; Hamzah dan Ikmal Hisham.
Sementara itu, Rosol turut telah mengesahkan dirinya keluar dari UMNO. - Bernama