Loading...
Tajuk : iPeguam: kes bunuh Adib, Menteri Perpaduan patut juga DIDAKWA menghasut
link : iPeguam: kes bunuh Adib, Menteri Perpaduan patut juga DIDAKWA menghasut
iPeguam: kes bunuh Adib, Menteri Perpaduan patut juga DIDAKWA menghasut
Innalillahi Wa Inna ilaihi Raji’un.
Sebagai mewakili iPeguam, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Al Marhum di atas kembalinya Al Marhum ke rahmat Allah setelah berminggu-minggu berjuang menyabung nyawa di Institut Jantung Negara. Semoga Allah menempatkan roh Al Marhum bersama para Syuhada, Amilin dan Solihin. Juga semoga keluarga Al Marhum tabah dan sabar mengharungi takdir Allah ini.
Pertama sekali, iPeguam ingin menyatakan bahawa kematian Muhammad Adib Bin Mohd Kassim bukan berkaitan isu ras atau warna kulit tetapi kerakusan golongan kapitalis, pengurusan kuil Seafield yang kucar kacir, kemarahan yang tidak terkawal dan emosional, kelambatan bertindak pihak berkuasa dan juga keserakahan nafsu politikus oportunis.
Walaupun mangsa yang meninggal adalah seorang muslim, umat Islam telah menunjukkan contoh tauladan yang membanggakan dengan tidak melakukan tindak balas yang boleh meruncingkan lagi keadaan. Masyarakat India juga secara umumnya telah mempamerkan satu contoh yang terpuji dengan tidak memburukkan lagi keadaan.
Pemukulan secara beramai-ramai (mob-lynching) yang kini telah diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh perlu ditangani dengan bijak, segera dan profesional ke arah pendakwaan undang-undang terhadap mereka yang telah menyebabkan kematian ini. Masyarakat awam tidak akan berpuas hati melainkan setelah menyaksikan sendiri bagaimana sistem kehakiman negara memberikan keadilan kepada keluarga mangsa dan menjatuhkan hukuman setimpal ke atas semua yang tertuduh.
Umum juga tidak akan melupai helah dan muslihat pihak-pihak yang cuba mengalihkan isu, memberi kenyataan yang palsu dan memutarbelitkan fakta-fakta kejadian.
Yang patut didakwa sama ialah menteri perpaduan yang telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan bersifat menghasut dan tidak bertanggungjawab dan sehingga kini masih enggan meminta maaf kepada rakyat Malaysia, umat Islam dan juga masyarakat India sendiri. Kerana apa? Sebab dia telah cuba menimbulkan suasana tidak harmoni dan tegang di antara masyarakat Islam dan India.
Pihak-pihak yang turut sama memikul tanggungjawab secara tidak langsung kepada kematian Muhammad Adib ialah pihak-pihak yang cuba melepaskan diri sendiri dan mencari alasan dari terpalit dengan insiden yang telah meragut nyawa seorang pegawai Jabatan Bomba Dan Penyelamat. Mereka terdiri dari pihak pemaju, peguam, samseng upahan, pengurusan kuil, ahli-ahli politik dan menteri, mengikut kadar dan nisbah yang berbeza-beza.
Menteri Perpaduan Negara sudah sepatutnya dipecat dari awal lagi.
Tragedi ini berpunca dari isu pampasan kewangan dan pemindahan kuil ke tapak baharu, tetapi telah bertukar menjadi insiden berdarah dan rusuhan yang membawa kepada kematian seorang rakyat Malaysia. Nilai sebenar kuil yang menjadi rebutan adalah nyawa seorang anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Kematian Muhammad Adib sepatutnya menjadi satu semboyan kesatuan dan peringatan bahawa ahli-ahli politik sama sekali tidak boleh dibenarkan untuk menyulut api pertelingkahan dan sengketa sesama rakyat Malaysia atau menimbulkan keretakan pada hubungan kaum yang amat sensitif ketika ini. Juga sebagai satu indikasi bahawa insiden-insiden yang melibatkan sensitiviti kaum perlu dicegah dari merebak hingga menggugat kestabilan hidup bermasyarakat secara harmonis.
Walau bagaimanapun, kebersamaan mana-mana pihak dengan pihak pemerintah tidak boleh dijadikan perisai untuk melindungi mana-mana ahli politik yang ghairah menghasut dan mengadu domba rakyat dengan rakyat dan sesama penganut agama.
Umat Islam dan rakyat Malaysia umumnya masih yakin dan menghormati undang-undang dan sistem kehakiman negara. Institusi inilah antara pihak yang diharapkan untuk mendapat keadilan terhadap tindakan kezaliman, salahguna kuasa, rasuah, hasutan dan ketidakstabilan.
Di dalam kes kematian Muhammad Adib, rakyat dan umat Islam ingin menyaksikan sama ada sistem perundangan negara dan instutusi kehakiman benar-benar berwibawa dan berani menjalankan tugasnya tanpa memihak, mengampu atau tunduk kepada mana-mana tekanan atau campurtangan politik.
Muhammad Adib telah kembali kepada sang pencipta. Hakikat kematian ini adalah satu keyakinan yang tersemat di dada setiap muslim. Keluarga Al Marhum sedang diuji dengan kehilangan ahli keluarga mereka yang tersayang.
Di sebalik kedukaan ini, negara dan sistem kehakiman juga sedang diuji – apakah kematian Muhammad Adib akan diabadikan di dalam buku sejarah atau dilupakan dalam lipatan-lipatan sejarah?
Sekiranya harga sebuah kuil telah dibayar dengan nyawa seorang anggota pasukan Bomba, apakah harga yang perlu dibayar oleh rakyat Malaysia untuk mendapat keadilan dan menyelami makna daripada keceluparan dan hawa nafsu ahli-ahli politik?
Pihak kerajaan yang sering mencanangkan kalimat “Rule of Law”, tadbir kelola yang telus dan pertanggungjawaban (accountability) di bawah iklim pemerintahan yang baharu tidak mempunyai apa-apa helah lagi untuk bertindak dengan cara yang tidak berwibawa. Kepentingan masyarakat dan kemaslahatan awam tidak boleh ditundukkan di bawah slogan membela hak beberapa individu.
Pepatah mengatakan: Justice Delayed Is Justice Denied.
Justeru itu, iPeguam mendesak supaya pihak Peguam Negara dan pihak polis tidak berlengah dalam mendakwa pihak-pihak yang terlibat di dalam pembunuhan ini. Tidak boleh ada kelewatan atau berlapik alasan lagi sebab rakyat juga sedang “menghakimi” anda semua.
Sebarang kelewatan pihak kerajaan, Peguam Negara dan PDRM dalam membawa mereka yang tertuduh ke muka pengadilan hanya akan memberi isyarat bahawa anda semua tidak serius di dalam usaha-usaha reformasi institusi di dalam kerajaan baharu ini dan sekadar retorika untuk memenangkan agenda politik semata-mata.
iPeguam juga mendesak supaya pihak kerajaan mengkaji balik keputusan Kabinet pada 10 Oktober 2018 yang lalu untuk memansuhkan hukuman mati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dengan niat.
Keadilan tidak akan tercapai dan kemanan serta keselamatan nyawa tidak akan dijamin apabila perbuatan membunuh manusia lain hanya dibalas dengan hukuman penjara maksimum 30 tahun sahaja. Ini juga akan memberi satu mesej bahawa para penjenayah dan pembunuh seolah-olah akan “dilindungi” oleh undang-undang dan sistem perundangan negara hukuman yang tidak setimpal dengan jenayah bunuh yang telah dilakukan.
Negara sudah kehilangan seorang rakyat berdedikasi bernama Muhammad Adib.
Berapa ramai Muhammad Adib lagikah perlu dikorbankan untuk rakyat menikmati erti keamanan dan jaminan keselamatan pada masa hadapan?
Muhammad Luttfi Abdul Khalid
Pengerusi, Ikatan Peguam Muslim Malaysia
(iPeguam)
Pengerusi, Ikatan Peguam Muslim Malaysia
(iPeguam)
Thus Article iPeguam: kes bunuh Adib, Menteri Perpaduan patut juga DIDAKWA menghasut
Itulah artikel iPeguam: kes bunuh Adib, Menteri Perpaduan patut juga DIDAKWA menghasut Kali ini, mudah-mudahan dapat memberikan manfaat kepada anda semua. dengan baik, melihat anda dalam menghantar barang-barang lain.
Anda sedang baca artikel iPeguam: kes bunuh Adib, Menteri Perpaduan patut juga DIDAKWA menghasut dengan alamat pautan https://malaysiaonrecord.blogspot.com/2018/12/ipeguam-kes-bunuh-adib-menteri.html
0 Response to "iPeguam: kes bunuh Adib, Menteri Perpaduan patut juga DIDAKWA menghasut"
Catat Ulasan